18 FEB: Serangan di Ukraine semalam mencetuskan kembali kebimbangan Barat yang Russia akan menyerang negara itu pada bila-bila masa.
Pertempuran awal pagi antara tentera Kyiv dan pemisah pro-Russia itu yang berperang sejak bertahun-tahun telah mengingkari arahan gencatan senjata secara berkala.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata perbuatan Moscow itu alasan untuk mewajarkan kemungkinan serangan dan pada masa sama, Kremlin mengusir seorang diplomat AS.
Krisis sangat meruncing dalam hubungan pasca Perang Dingin sedang berlaku di Eropah kerana Russia mahukan jaminan keselamatan, termasuk Kyiv tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Russia juga menuntut AS dan rakan sekutu menawarkan kesediaan kawalan senjata serta langkah lain bagi membina keyakinan.
Negara Barat dan Biden bertegas bahawa pendudukan ketenteraan berterusan hanya mengundang risiko kemungkinan berlaku serangan.
“Setiap petunjuk yang kami ada menunjukkan mereka bersedia untuk pergi ke Ukraine dan menyerang Ukraine,” kata Biden kepada pemberita di Rumah Putih.
Beliau mengarahkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menukar rancangan perjalanannya pada saat akhir untuk bercakap pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai senario di Russia.
“Ia boleh jadi pengeboman pengganas yang didalangi Russia, penemuan ‘kubur’ pembunuhan beramai-ramai, serangan dron menyasarkan orang awam atau serangan palsu, malah mungkin menggunakan senjata kimia.
“Russia mungkin menggambarkan peristiwa ini sebagai pembersihan etnik, atau pembunuhan beramai-ramai,” kata Blinken
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Vershinin, berkata komen Blinken amat dikesali dan berbahaya.
Memburukkan lagi keadaan hubungan antara dua kuasa dunia itu, Russia mengusir diplomat AS, yang juga Timbalan Ketua Misi di negara itu, Bart Gorman.