12 DIS : Kerajaan komited untuk memberi dukungan yang diperlukan kepada pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV) atau Lembah Teknologi Tinggi Automotif yang sedang giat diusahakan oleh Geely holding dan DRB-HICOM.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap usaha sama kedua syarikat itu mampu membantu tenaga kerja di negara ini.
“Saya tekankan supaya pelaburan yang dibuat di Malaysia perlu memberi manfaat kepada bakat (tenaga kerja) dan perniagaan tempatan,” katanya menerusi ciapan di laman sosial X,pada Isnin.
Terdahulu, DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan AHTV di Tanjong Malim, Perak, dengan pemeteraian perjanjian usaha sama antara kedua-dua syarikat itu.
Ini adalah susulan daripada Perjanjian Kerjasama Utama yang ditandatangani pada Oktober 2023 yang telah menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama untuk projek AHTV.
Dalam pada itu, Anwar yang turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian tersebut berkata Geely Holding berkongsi antara tarikan yang mendorong mereka untuk membawa pelaburan ke negara ini adalah hasil daripada manfaat hubungan perdagangan Malaysia dan negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah selain daripada pemilikan kepentingan dalam Proton.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar menandatangani perjanjian tersebut sebagai mewakili kumpulan manakala Geely Holding diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Li.
Turut hadir ialah Eric Li, Pengerusi Geely Holding dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Perjanjian usaha sama tersebut menggariskan prinsip utama bagi kerjasama strategik, penyelarasan objektif usaha sama dan syarat-syarat perkongsian, kata DRB-HICOM dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebuah syarikat usaha sama akan seterusnya memanfaatkan kekuatan dan kepakaran DRB-HICOM dan Geely Holding dalam membangunkan AHTV sebagai hab antarabangsa kenderaan generasi seterusnya di Malaysia.