9 SEPT : Parti Amanah menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang dipilih untuk mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 28 September depan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata jentera parti juga sudah diselaraskan di seluruh negara ntuk memberi sokongan terhadap Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang.
“Begitu juga di Mahkota, kita akan bekerja habis-habisan untuk memastikan calon muda dari BN itu mencapai kejayaan lebih besar di Mahkota.
“Kita harap gelombang kejayaan di DUN Nenggiri akan dapat membawa gelombang kejayaan lebih besar di Mahkota,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Durian, Pendang, hari ini.
Jumaat lalu, BN mengumumkan Syed Hussien sebagai calon gabungan itu untuk PRK Mahkota.
Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Amanah untuk PRK Mahkota berkata jentera Amanah bertanggungjawab untuk memastikan pengundi di Mahkota dapat menghalang elemen ‘mendajalkan’ orang daripada masuk ke Johor dalam PRK kali ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64 pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.