9 SEPT : Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak memberi pandangan atau berbicara soal isu 3R iaitu agama, kaum dan raja selagi tidak melanggar garis perpaduan atau mencetus ketidakharmonian pelbagai kaum di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kenyataan yang boleh mencetus kepada keganasan dan pergaduhan kaum.
“Umpamanya isu 3R, ada pembangkang yang mengatakan kita zalim kerana tidak membenarkan bicara tentang 3R, itu tidak betul.
“Kalau hendak bicara soal agama Islam atau agama lain, hendak bicara soal kaum, tidak puas hati hendak bantah, itu semua diizinkan.
“Yang tidak diizinkan ialah hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum, dalam apa pun alasan dan kalau saya diserang sekalipun oleh media antarabangsa saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata rakyat perlu memahami bahawa hak asasi dan kebebasan perlu diiringi dengan tanggungjawab bagi menjamin keamanan negara.
Katanya, jika undang-undang tidak mengawal kebebasan, ia akan mengakibatkan negara porak-peranda.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim