24 APR : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dibayar untuk menghadiri dan menyanyi pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa.
Melalui media sosialnya, beliau memaklumkan nyanyiannya pada majlis itu sebagai tanda penghargaan kepada warga KKM dan tidak dibayar seperti didakwa.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran…saya tidak minta apa-apa bayaran,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkongsi gambar sekitar majlis itu yang menampilkan beberapa artis terkenal termasuk Siti dan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Beberapa pihak kemudiannya mempertikaikan kos dikeluarkan KKM untuk menjemput artis-artis tersebut menyanyi pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata beliau tidak mahu lebih ramai yang memanjangkan fitnah berkait penampilannya pada majlis itu.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam (Selasa).
“Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu tidak sahih beritanya,” jelasnya.
Dr Dzulkefly melalui hantaran di X turut mengesahkan bahawa kehadiran sebagai tetamu dan membuat persembahan itu dibuat tanpa bayaran bagi menghargai warganya.
“Salam Malaysia MADANI. Saya hargai kebimbangan yang disuarakan. Untuk rekod, mereka yang hadir sebagai tetamu dan buat persembahan tanpa bayaran bagi menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pekerja kesihatan KKM termasuk tetamu lain dari agensi, kementerian, universiti, sektor swasta yang menjadi sebahagian ekosistem penjagaan kesihatan negara.
“Kritikan yang diterima adalah adil. Semoga ini menjadi peringatan kepada semua. Kami akan terus berusaha dalam menangani isu sistemik untuk pekerja kesihatan kami, itu komitmen saya,” katanya.
