12 NOV : Pembedahan menyambung semula tangan kanan anggota polis yang putus ditetak lelaki bersenjatakan parang di Desa Amanpuri, Kepong, petang semalam, berjaya dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pembedahan selama lapan jam itu terhadap Lans Koperal Thierry Rodger Fendy itu dikendalikan pasukan pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL.
Berita kejayaan itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi satu kenyataan, hari ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat, dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat.
“Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan syabas kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala anggota itu.
Dzulkefly turut menyifatkan dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks itu sebagai amat membanggakan negara.
“Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan Thierry menerima rawatan rapi dan menyeluruh bagi membantu pemulihan fungsi tangannya ke tahap optimum.
Dzulkefly turut menyifatkan keberanian dan pengorbanan anggota polis itu dalam mempertahankan keselamatan awam sebagai sesuatu yang amat dihargai rakyat Malaysia.
“Kepada Lans Koperal Thierry, seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam. KKM komited untuk memastikan saudara terus menerima rawatan rapi yang menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.
“Sama-sama kita terus mendoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna, dan semoga ahli keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian berat ini. Terima kasih PDRM, terima kasih wira-wira kesihatan negara,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira petang semalam, anggota polis berkenaan putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.
Mangsa kemudian dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum menjalani pembedahan penyambungan semula anggota badan berkenaan.