5 MEI : Kerajaan yakin dengan kedudukan asas ekonomi negara yang kukuh ketika ini, negara mampu mendepani ketidaktentuan global secara terurus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata reformasi struktur yang dilaksanakan dalam kerangka Ekonomi MADANI juga dilihat membantu negara lebih berdaya tahan serta bersiap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, daya tahan ekonomi domestik turut menyukarkan Malaysia terjebak dengan tekanan pihak luar.
“Satu hal yang ingin saya tegaskan, kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.
“Kita mempunyai angka dan data-data yang mampu dikendalikan serta dimanfaatkan secara bijak,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkait tarif Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi makroekonomi tempatan bagi tahun lalu amat meyakinkan.
Di mana ia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023 malah pencapaian itu katanya melebihi unjuran Belanjawan 2024 iaitu antara 4 hingga 5 peratus.
“Selain itu, kita berupaya mengurangkan defisit fiskal secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus pada 2022) kepada 5 peratus (2023), seterusnya 4.1 peratus (2024) dan unjuran 2025 pula pada kadar 3.8 peratus,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim