5 MEI : Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menangguh lawatan rasminya ke Malaysia susulan ketegangan yang melanda negara itu selepas serangan di Kahsmir, 22 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, beliau mendoakan agar ketegangan itu segera reda.
“Semalam saya menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang memaklumkan penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Jumaat ini susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir, baru-baru ini.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing,” katanya.
Hubungan antara Pakistan dan India merosot susulan serangan pengganas di wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu.
Dalam pada itu, Anwar mengecam keras tindakan keganasan itu dan menyokong siasatan bebas bagi mengesan dalang sebenar.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan kesediaan Malaysia untuk memiankan peranan bagi meredakan ketegangan tersebut.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu.
“Saya turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan. Hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Selain itu katanya, Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding.
“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim
*OLEH : HANUM RAJAK