5 MEI : Kerajaan mengarahkan semua bangunan sektor awam menggunakan produk syarikat tempatan bagi menjamin ketahanan industri domestik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan antara langkah yang boleh diambil di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited dalam melindungi ekonomi tempatan dalam menangani ketidaktentuan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS)
“Presiden AS (Donald) Trump kata solar (tak boleh) dieksport ke AS kerana terdapat syarikat China yang berpangkalan di sini, tetapi ada negara lain (untuk dijual), sebab itu arahan kita semua sekolah, universiti, hospital menggunakan panel solar buatan Malaysia.
“Bermakna kita mungkin boleh mengurangkan sebahagian daripada potensi masalah yang mungkin kita hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Management and Science Universiti (MSU), hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan turut mengambil inisiatif dalam memastikan industri semikonduktor negara dilindungi.
Katanya, sektor itu antara produk eksport bernilai tinggi mencecah sekitar RM40 bilion.
“Sejak saya mengambil alih hampir dua tahun, kita mengadakan banyak lawatan untuk membuka pasaran baharu selain India, China, Korea dan Jepun. Kita meningkatkan perdagangan dalam ASEAN dan hubungan dengan negara lain contohnya Mesir.
“Kita juga kini sedang berusaha mempercepat perjanjian (Perjanjian Perdagangan Bebas – FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
