7 NOV : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu membawa kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, pemerhatian awal terhadap suasana kempen sebaik tiba di Melaka memberikan gambaran positif mengenai peluang gabungan itu.
Menurut Ahli Parlimen Bera itu, kesepakatan BN bersama PAS dan parti lain dalam PN juga diyakini dapat memperkukuh sokongan pengundi Melayu.
“Ini hari pertama saya sampai, dan melihatkan kepada ‘mood’ berkempen, saya nampak peluang kita besar, lebih-lebih lagi apabila kita ada kerjasama dengan PAS.
“Saya pasti ‘solid’ kepada BN dan juga PAS serta lain-lain dalam PN. Dari sudut ini, saya yakin dengan adanya kerjasama ini kita boleh menang, bukan sahaja menang tetapi menang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai program kempen calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan,di Kampung Baru Bukit Sedanan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengalaman kerjasama politik di Johor dan Negeri Sembilan turut mengukuhkan keyakinannya terhadap potensi gabungan berkenaan.
“Bukti dah ada di Negeri Sembilan, di Johor. Apabila PAS bersama kita ataupun PN bersama kita, insya-Allah kita akan menang,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyertai program turun padang bersama calon BN bagi DUN Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa bagi meninjau penerimaan penduduk terhadap calon berkenaan.
Rakyat Melaka akan membuat pilihan pada hari pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 November ini.
