Semak semula dasar lama, PM beritahu KPM

8 MEI : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyemak semula dasar lama yang masih terpakai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu disegerakan bagi memastkan peruntukan yang dilaburkan untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) membuahkan hasil.
“Dunia sedang berubah pantas dan kita tidak boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia lama atau terpuruk dalam perancangan silam yang mungkin sudah tidak relevan.
“Dasar lama perlu disemak dan pendekatan perlu disegarkan agar setiap wang yang dilaburkan menerusi RMK-13 membenihkan sistem pendidikan yang lebih adil, berpandangan jauh dan mampan demi menjulang masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di Facebook pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menerima kunjungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama barisan pengurusan tertinggi KPM bagi membincangkan strategi dan hala tuju baharu pendidikan menjelang lembaran RMK-13.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu pelbagai isu dibincangkan termasuk berkaitan pendidikan prasekolah dan pengajian Tingkatan 6.
“Antara yang dibicarakan termasuklah pendidikan prasekolah, latihan guru dan peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru, pelaksanaan CPD sebagai wahana memperkasa tenaga pengajar serta pemantapan STEM bagi melonjakkan daya saing masa depan.
“Turut dibincangkan pengajian peringkat Tingkatan 6 dan matrikulasi, isu keciciran murid, permit mengajar sektor awam dan swasta serta keperluan menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih sejajar dengan keperluan semasa,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata segala intipati dan iltizam yang terbit daripada perbincangan itu harus digerakkan segera secara menyeluruh, tersusun dan berani demi masa depan anak-anak, para pendidik dan ekosistem pendidikan negara.

*OLEH : HANUM RAJAK