9 MEI : Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk bekerjasama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Keputusan itu dimaklumkan melalui satu kenyataan bersama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat kepimpinan tertinggi, semalam.
Sekretariat diwakili Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu memaklumkan perincian kerjasama itu akan ditetapkan secara bersama.
“Mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei 2025 telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Negeri Sabah,” kata kenyataan bersama itu, hari ini.
Dalam pada itu, sekretarian memaklumkan segala keputusan bakal dimuktamadkan kepimpinan tertinggi kedua-dua blok di peringkat kebangsaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata partinya masih membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti tempatan bagi menghadapi PRN Sabah, tidak lama lagi.
*OLEH : HANUM RAJAK