Bila diplomasi disangka ‘jalan-jalan’ : Farhan
7 JUL : Tuduhan dilempar pembangkang kononnya lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sekadar ‘jalan-jalan’ adalah cerminan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata ia juga cerminan kepimpinan pembangkang yang berminda kecil.
“Hakikatnya, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara. Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.
“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemimpin pembangkang agar memahami dan mengenali rakyat dengan lebih baik.
“Nasihat saya kepada tokoh-tokoh berminda kecil di dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik. Ini kerana, Rakyat tidak berminda seperti anda. Apatah lagi untuk diperdaya agar termakan dengan permainan herotan persepsi.
“Rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain ‘politik tanpa hikmah’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Anwar berjaya membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik.
Ini termasuk dalam memperluas akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) serta pemeteraian FTA dengan negara-negara EFTA.
“Langkah proaktif Malaysia telah membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang telah diluluskan iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan yang mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024.
“Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus.
“Sebaliknya, semasa era pentadbiran gerombolan mereka, citra negara tidak terkehadapan. Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara,” katanya.

Beliau juga menyifatkan era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan MADANI memandu negara kita.
“Di bawah kepimpinan MADANI, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi.
“Pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar kita,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK