Malaysia-India intai peluang perluas kerjasama
7 JUL : Malaysia dan India meneliti potensi memperluas kerjasama strategik antara negara dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk melabur dalam sektor-sektor masa depan.
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.
“Mengadakan pertemuan ringkas namun padat dengan pengisian bermakna bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Kami meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia dan India dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan.
“Saya turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk melabur dalam sektor-sektor masa hadapan di Malaysia seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, beliau dan Modi juga komited untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pendidikan termasuk cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia.
“Kedua-dua pihak turut menegaskan pentingnya memastikan keamanan dan kestabilan serantau, serta menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian adil dan aman bagi isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir,” katanya.
Selain itu, Anwar menzahirkan bahawa Malaysia menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN–India pada Oktober ini.
“Ia selaras dengan semangat kerjasama yang saling menguntungkan.
“Semoga hubungan erat Malaysia dan India terus berkembang demi manfaat dan kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK