22 APR : Harga runcit diesel dan petrol di Semenanjung diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan mengumumkan harga diesel turun 85 sen kepada RM5.12 seliter mulai esok hingga 29 April.
Sementara harga RON97 turun 25 sen kepada RM4.85 seliter dan RON95 kini RM3.87 turun 15 sen seliter.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), untuk minggu ini harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Penurunan harga minggu ini adalah berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu. Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, MoF berkata dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.
“Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu,” menurut MoF lagi.
Katanya, walaupun harga minyak global menunjukkan tanda penyusutan, ketidaktentuan pasaran tenaga masih berterusan dan pemulihan bekalan tidak berlaku serta-merta.
“Gangguan kepada kemudahan pengeluaran di Asia Barat serta rantaian logistik dan penghantaran global memerlukan masa untuk kembali stabil.
“Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MoF.
Dalam tempoh ini, MoF menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.