27 APR : Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat selepas kesemua 14 ADUN hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Menurut Jalaluddin, mereka kecewa terhadap krisis yang berlaku melibatkan krisis perlembagaan Negeri Sembilan.
“Semua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan dengan ini, sebulat suara, hilang kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kanan Negeri Sembilan berkata demikian pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Keputusan BN itu sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO-BN kekal menyokong institusi adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Katanya, Aminuddin sepatutnya memainkan peranan dan kebijaksanaan sebagai ketua negeri dalam menangani krisis perlembagaan itu.
Selain itu, beliau juga kecewa apabila wakil UMNO-BN dalam barisan Exco tidak dilibatkan atau dimaklumkan tentang krisis itu.
Justeru itu kata Jalauddin, keputusan tersebut akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas ini.
BN mewakili 14 kerusi DUN di Negeri Sembilan sementara Pakatan Harapan 17 kerusi yang diwakili, DAP 11, PKR 5 dan Amanah 1 sementara pembangkang 5 kerusi iaitu PAS 3 manakala Bersatu 2.