AI: Malaysia perlu beralih daripada pengguna kepada pencipta
27 APR: Malaysia perlu melakukan anjakan besar dengan beralih daripada sekadar pengguna kepada pencipta bagi menerajui era kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam anjakan itu, bakat anak tempatan perlu dimanfaatkan.
“Peluncuran Huawei AI Lab and Innovation Centre hari ini bukan sekadar lambang kemajuan teknologi tetapi manifestasi kesungguhan Malaysia untuk mengangkat darjatnya sebagai negara peneraju dalam era kecerdasan buatan.
“Kita tidak boleh lagi selesa sebagai pengguna, sebaliknya mesti bangkit sebagai pencipta dan penentu arah, dengan keberanian membina kekuatan sendiri serta memanfaatkan bakat anak tempatan secara tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas pelancaran Pusat Inovasi dan Makmal Kecerdasan Buatan (AI) Huawei, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam keghairahan dunia mengejar kecanggihan kecerdasan buatan (AI), masyarakat tidak boleh alpa bahawa kemajuan tanpa nilai hanya akan menghakis makna sebenar pembangunan.
“Justeru, prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial mesti kekal terpahat sebagai asas agar teknologi ini memanfaatkan manusia secara menyeluruh, bukan menjarakkan lagi jurang yang sedia ada,” katanya.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI akan terus memastikan transformasi digital ini bersifat inklusif dan berteraskan rakyat, merapatkan jurang antara bandar dan desa, membuka ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang serta menjamin setiap lapisan masyarakat merasai manfaatnya secara adil dan saksama.
Dalam masa sama katanya, Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama global, namun dengan pendirian yang tegas bahawa setiap langkah mesti dipacu menurut acuan kita sendiri, berteraskan nilai demi masa depan yang lebih maju, berdaulat dan bermaruah.
