11 JUN : Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dilaporkan cedera ringan dalam serangan udara yang berlaku di kawasan berhampiran Haris di selatan Lubnan, pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata insiden melibatkan konvoi logistik MALBATT 850-13 yang sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.
Katanya, kejadian berlaku pada jam 9.25 pagi waktu tempatan di sekitar 1 kilometer (km) di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin.
“Kementerian Pertahanan mengesahkan dua anggota MALBATT 850-13 mengalami kecederaan ringan akibat kesan sampingan daripada satu insiden serangan udara yang berlaku di kawasan berhampiran Haris, pagi ini.
“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran.
“Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan. Waris-waris anggota yang terbabit juga sudah dimaklumkan mengenai insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Khaled, kedua-dua anggota yang cedera itu sudah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terbabit serta menguruskan pemulihan kenderaan yang terjejas kembali ke pangkalan.
“Pasukan yang tiba di lokasi telah melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat,” katanya.
Susulan kejadian itu, Khaled berkata MALBATT 850-13 meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi memperkukuh keselamatan anggota.
“Langkah itu termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi keselamatan semasa, memperkukuh koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta melaksanakan penilaian risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi.
“Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan situasi keselamatan di kawasan operasi dan memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman di Lubnan,” katanya.
*FOTO : FACEBOOK MALBATT 850-13