Kesiapsiagaan hadapi kesan El Nino diperkukuh
11 JUN : Kerajaan mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memperhebat usaha penerangan mengenai fenomena El Nino di seluruh negara susulan kebimbangan terhadap kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut meneliti pembentangan METMalaysia berhubung fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.
Menurutnya, METMalaysia perlu segera turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat dan pencerahan yang menyeluruh kepada pelbagai pihak berkepentingan.
“Mesyuarat MTEN hari ini meneliti pembentangan daripada METMalaysia berhubung fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.
“Mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh selain kesiapsiagaan di peringkat akar umbi mesti diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mendepani kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran selepas mempengerusikan Mesyuarat MTEN, hari ini.
Dalam mesyuarat sama, MTEN turut meneliti pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation mengenai hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara.
“Sewaktu pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation mengenai hala tuju syarikat OGSE negara, kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri dengan Kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” katanya.
Anwar berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan ekonomi negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik serta pelbagai krisis antarabangsa yang semakin mencabar.
“Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia, ketegangan geopolitik dan pelbagai krisis global yang kian mencabar, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat terbanyak sentiasa terjaga, serta ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang,” katanya.