KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI)
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) hari ini telah menganjurkan satu sesi townhall bagi memberi penerangan berhubung status terkini agenda reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan MADANI yang dimulakan dengan kalangan parti politik di BHEUU, JPM. Sesi pertama ini melibatkan Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan akan disusuli dengan sesi bersama parti-parti politik serta pihak berkepentingan yang lain dalam waktu terdekat ini.
Sesi ini berperanan sebagai platform untuk menyelaras kefahaman seraya memperkukuh komitmen bersama pihak berkepentingan termasuk wakil-wakil rakyat, pertubuhan masyarakat sivil, wakil komuniti dan pakar-pakar akademik serta perundangan terhadap pelaksanaan agenda reformasi undang-undang dan institusi negara yang digerakkan secara menyeluruh dan berfasa sejak Disember 2022.
Pendekatan ini juga adalah selari dengan Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 yang berteraskan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, keberkesanan penyampaian serta penyertaan semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan agenda ini.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk keperluan penyelarasan antara kementerian, kekangan sumber serta cabaran dalam membina konsensus, namun, Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan setiap langkah reformasi tersebut dilaksanakan secara pragmatik, tersusun dan memberi impak langsung.
Dalam sesi tersebut, saya telah membentangkan strategi pelaksanaan bagi tempoh jangka pendek dan sederhana yang memfokuskan kepada empat agenda utama yang menjadi teras kepada pengukuhan akauntabiliti institusi negara iaitu pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP) bagi menjamin kebebasan sistem pendakwaan; cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sebagai langkah memperkukuh amalan demokrasi; penggubalan Akta Kebebasan Maklumat bagi meningkatkan ketelusan dan akses rakyat kepada maklumat; serta penggubalan Akta Ombudsman Malaysia sebagai mekanisme aduan bebas bagi memperkukuh akauntabiliti perkhidmatan awam.
Keempat-empat agenda ini merupakan tunjang utama dalam usaha kerajaan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, di samping memastikan sistem pentadbiran awam kita kekal telus, adil dan berintegriti.
Pada masa yang sama, peranan pihak berkepentingan juga adalah amat kritikal dalam memastikan agenda reformasi ini betul-betul difahami dengan jelas agar dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di semua peringkat, sekali gus memastikan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar responsif kepada keperluan rakyat.
Komitmen Kerajaan MADANI dalam hal ini adalah jelas, iaitu untuk mewariskan legasi sistem perundangan dan institusi negara yang lebih kukuh, berintegriti dan adil, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina sebuah negara berakauntabiliti tinggi yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID