KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
1. Ketika dunia terus berdepan pelbagai cabaran yang mengancam keamanan, keharmonian sosial serta kesejahteraan dan pembangunan potensi generasi muda, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh komuniti antarabangsa untuk menjadi tuan rumah kepada The 3rd International Summit of Religious Leaders 2026. Penganjuran persidangan ini mencerminkan keyakinan dunia terhadap peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai kesederhanaan, perpaduan dan dialog dalam memperkukuh keamanan serta kesejahteraan sejagat.
2. Dengan kerjasama Muslim World League (MWL), persidangan ini akan berlangsung pada 12 Jun 2026 (Jumaat) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur dan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari 31 buah negara yang terdiri daripada pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari seluruh dunia.
3. Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, persidangan ini bertujuan memupuk keharmonian, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat yang pelbagai, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform dialog global yang diyakini dalam membincangkan isu-isu berkaitan keamanan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sejagat. Persidangan ini turut mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan kehidupan bersama secara aman, memperkukuh keharmonian sosial serta memperkasa golongan muda sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan inklusif.
4. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan persidangan ini. Turut hadir ialah YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia; YBhg. Dato’ Seri Sheikh Dr. Mohammad bin Abdul Kareem Al-Issa, Setiausaha Agung Muslim World League, anggota Jemaah Menteri serta para perwakilan antarabangsa.
5. Seramai 18 orang pembentang dan panelis antarabangsa akan berkongsi pandangan berdasarkan empat tema utama iaitu memperkukuh keharmonian sosial dan saling menghormati, memperkasa belia melalui pendidikan dan kepimpinan, menangani cabaran semasa generasi muda serta memperkukuh peranan pemimpin agama dalam pembangunan dan pemerkasaan belia.
6. Sehubungan dengan itu, pihak media dijemput hadir membuat liputan sepanjang persidangan ini berlangsung. Persidangan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi JAKIM dan MWL.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR SIRAJUDDIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA