Beri ruang kemelut politik di Negeri Sembilan mereda
1 MEI : Semua pihak diminta memberi ruang agar kemelut politik di Negeri Sembilan mereda terlebih dahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu tersebut perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan atau Undang‑Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Seperti yang semua ketahui, ada isu yang harus dileraikan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan. Sementara itu, tentunya kita ikut titah Yang di‑Pertuan Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, hari ini.
Terdahulu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan selepas hilang kepercayaan terhadap Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka kecewa terhadap isu yang melibatkan krisis perlembagaan Negeri Sembilan apabila tiada wakil UMNO-BN dalam barisan Exco dilibatkan atau dimaklumkan tentang krisis tersebut.
Dalam pada itu, UMNO menghormati keputusan kesemua ADUN tersebut namun 14 ADUN itu bersetuju untuk menyokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan.
Aminuddin juga kekal sebagai menteri besar selepas Yang di‑Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memperkenankan beliau untuk terus menjalankan tugas tersebut.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mahu Aminuddin diberi ruang untuk terus mentadbir negeri itu lebih-lebih lagi ketika negara berdepan cabaran krisis ekonomi global.
“Tumpu itu dahulu. Nak rebut apa lagi, tunggulah sekejap. Oleh sebab itu saya sudah menasihati dan menyampaikan perkara ini kepada rakan‑rakan dalam PH dan juga kepada pimpinan UMNO.
“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat,” katanya.
DUN Negeri Sembilan memiliki 36 kerusi dengan BN mewakili 14 kerusi, Pakatan Harapan 17 kerusi (DAP 11, PKR 5 dan Amanah 1) yang membentuk Kerajaan Perpaduan sementara pembangkang 5 kerusi iaitu PAS 3 dan Bersatu 2.
