14 MEI : Kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan saman terhadap syarikat pertahanan Norway atas pelanggaran kontrak pembekalan sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan sistem pelancar berkaitannya untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menilai secara terperinci berkait segala bayaran yang sudah dibuat dan kersosakan kesan pelanggaran tersebut.
Menurutnya, kerajaan juga sedang membuat penilaian terhadap jumlah tuntutan munasabah yang wajar dikemukakan melebihi bayaran yang sudah dibuat sebelum ini.
“Walaupun kapal berkenaan dapat disiapkan, ia masih tidak dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (surface-to-surface missile) yang sudah ditempah sejak tahun 2018.
“Jadi kita perlu mencari sistem peluru berpandu lain sebagai pengganti. Kalau menggunakan sistem baharu, ia memerlukan latihan semula dan proses integrasi dengan sistem lain dalam kapal.
“Semua itu akan diambil kira sebagai kerugian akibat pelanggaran kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program PROWIRA-RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) 2026, hari ini.
Mohamed Khaled berkata kerajaan sudah membuat pembayaran kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak tersebut.
“Proses mendapatkan sistem gantian juga bukan sesuatu yang mudah kerana aset pertahanan perlu dibina mengikut spesifikasi tertentu dan setiap sistem perlu berhubung antara satu sama lain.
“Dalam sebuah kapal ada pelbagai sistem komunikasi, elektrik di mana ia datang daripada syarikat yang berbeza. Sistem peluru berpandu itu mesti boleh berhubung dan berintegrasi dengan semua sistem sedia ada.
“Jadi pembangunan sistem baharu itu akan mengambil masa, namun kita sedang mencari jalan untuk mempercepatkan proses berkenaan,” katanya.