18 MEI : Seramai 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dalam perjalanan ke Gaza disahkan ditahan tentera rejim zionis Israel.
Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan perkembangan itu melalui sidang media, hari ini.
Menurutnya, 16 rakyat Malaysia itu menaiki 9 daripada 18 kapal flotilla yang dipintas dan diceroboh rejim zionis.
Sani Araby berkata 15 kapal dipintas adalah Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaros, Isobella, Tenaz, Bianca Ita, , Gotico Abodes, Themis, Josef dan Sadaban.
“SNCC mengesahkan pada jam 3 petang hingga 8 malam waktu Malaysia, kapal-kapal GSF didekati secara agresif oleh tentera rejim ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
“Ketika proses intimidasi berlaku, flotila berada di kedudukan kira-kira 240 batu nautika dari pantai Gaza iaitu di laluan perairan antarabangsa yang di luar sekatan mana-mana negara,” katanya.
Antara yang ditahan adalah Zainal Rashid Ahmad (kapal Amanda); Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella); Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus); S Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Ferluto) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Sehingga jam 8 malam ini, 18 kapal flotilla melibatkan hampir 150 aktivis kemanusiaan telah dipintas penjajah itu, katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon campur tangan kerajaan untuk mendesak negara Kesatuan Eropah bertindak terhadap tindakan Israel itu.
“SNCC ketika ini memantau rapat perkembangan operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari masa ke masa berhubung status, pergerakan dan keberadaan flotilla.
“SNCC juga telah memaklumkan kepada pihak Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memohon campur tangan beliau serta kerajaan Malaysia untuk mendesak negara Kesatuan Eropah termasuk Turkiye, Sepanyol dan lain-lain bertindak serta mengecam pencabulan misi kemanusiaan ini,” katanya.