Kerajaan pantau, siap siaga situasi GSF 2.0
16 MEI : Kerajaan sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan yang berlaku kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini sudah berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemantauan juga kerap dilaksanakan dan kerajaan akan bertindak jika berlaku pemintasan oleh rejim zionis Israel.
“Kita pantau selalulah, maknanya dah bagi desakan tapi kita berdepan dengan Israel yang paling biadab dalam dunia.
“Bukan saja (berhubung) dengan peserta dari Malaysia tapi (juga) dengan Sepanyol, Turkiye dan Brazil…kita bersiap sedia sekiranya ia (pintasan) berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima kepada Kontraktor Kecil Bumiputera, hari ini.
Terdahulu, Sumud Nusantara Command Centre mengesahkan keadaan genting 54 kapal GSF yang kini berada di garisan kuning dua dan berisiko tinggi dipintas rejim itu seperti sebelum ini.
Ketika ditanya soal kemungkinan terburuk kapal-kapal itu dipintas seperti misi sebelum ini, Anwar mengajak orang ramai berdoa untuk peserta terlibat.
“Kita mohon doa, mudah-mudahan tidak berlaku, tapi (jika berlaku) kita siap siaga,” katanya.
Selepas kegagalan misi lalu, GSF 2.0 dilancarkan dengan penglibatan hampir 500 peserta antarabangsa dari 45 negara termasuk 29 rakyat Malaysia.
Sementara itu mengulas soal program dihadirinya melalui kenyataan di Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kontraktor kecil Bumiputera yang menunjukkan prestasi baik akan terus diberikan dokongan dan kepercayaan oleh Kerajaan MADANI agar mereka mampu berkembang lebih jauh serta menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya percaya, tanpa dasar kerajaan yang jelas, tanpa sokongan yang mempermudah urusan dan membuka ruang peluang yang adil, kontraktor kecil sukar untuk berkembang serta bersaing secara mampan.
“Sebab itu syarikat-syarikat kontraktor kecil yang membuktikan prestasi cemerlang akan terus diberi perhatian dan keutamaan supaya mereka berpeluang meningkatkan kapasiti, memperkukuh keupayaan serta melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut mengumumkan kenaikan Peruntukan Perolehan Kerja 2026 bagi kontraktor gred G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi tahun ini.
Katanya, peruntukan awal dalam Belanjawan 2026 ini adalah sebahagian ikhtiar Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa kontraktor kecil Bumiputera di samping merancakkan ekonomi setempat demi manfaat rakyat keseluruhannya.
