Anwar nafi Bersatu akan sertai PH
10 JUN : Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan kononnya Bersatu akan menyertai gabungan itu selepas ‘berpisah’ dengan PAS.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih tidak mendengar ura-ura itu sambil menegaskan pakatannya mengamalkan pendekatan rundingan.
“Tak ada lagi, ura-ura pun tak ada. Kita ini perkahwinan politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah,” katanya .
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media usai lawatan rasmi ke Jepun, hari ini.
Beliau diminta mengulas khabar angin kononnya Bersatu mungkin cuba menyertai PH selepas kerjasamanya dengan PAS ditamatkan.
Menurut Anwar, meski terdapat sedikit perubahan di peringkat negeri namun Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masih teguh.
“Setakat ini Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun pada peringkat negeri sudah ada yang berbeza pendapat sedikit.
“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan, malah dari segi pimpinan jemaah menteri yang ada masih tuntas (dan) konsisten menyatakan Kerajaan Perpaduan peringkat kebangsaan harus kukuh,” katanya.
Namun Anwar menegaskan kerjasama yang terjalin sebelum ini perlu dihormati dan beliau tidak sesekali akan terlibat dengan sebarang langkah mengkhianati rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak mahu terbabit dalam apa-apa langkah atau bincang soal PH mengkhianati sahabat.
“Peringkat negeri itu mereka keputusan sendiri dan mereka harus jawab,” katanya.