10 JUN : Harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga itu kekal untuk tempoh 11 Jun hingga 17 Jun.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan.
“Harga RON97 kekal RM4.35 seliter, RON95 RM3.72 seliter dan diesel di semenanjung RM4.67 seliter,” menurut MoF dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi dengan perancangan bekalan yang disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk tempoh akan datang.
“Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.
“Pendekatan bersubsidi bersasar ini membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar.
“Kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih cekap dan berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran penggunaan bahan api, selaras dengan usaha memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” menurut MoF.
MoF berkata subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel pada Januari 2026 adalah sekitar RM700 juta, sebelum melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan memuncak sebanyak RM7.5 bilion pada April 2026 susulan krisis di Asia Barat, apabila harga minyak mentah Brent mencecah sehingga AS$120 setong.
“Dengan perkembangan terkini, harga minyak mentah Brent global kini menyederhana sekitar paras AS$90 setong. Namun begitu, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.
“Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan,” menurut MoF.
MoF berkata walaupun pasaran petroleum global sudah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.
Dalam pada itu, MoF berkata kerajaan akan terus mengambil pendekatan seimbang untuk memastikan rakyat terus dilindungi sambil mengekalkan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara.