Pertahan kebebasan bersuara, pegang pada etika
20 JUN : Kebebasan bersuara di negara ini perlu terus dipertahankan namun ia perlu seiring dengan tanggungjawab dan etika dalam penyampaian maklumat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, hari ini.
“Apa yang disampaikan itu benar atau palsu, hak atau batil, ditentukan oleh etika dan nilai, bukan semata-mata fakta. Ini satu cabaran besar yang perlu kita hadapi dan amalkan.
“Kadang-kadang orang sibuk bercakap soal pertumbuhan ekonomi, digital, transisi tenaga dan AI tetapi jangan lupa bahawa semua kerangka baharu itu tidak harus meninggalkan aspek etika dan nilai,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media tempatan yang terus memikul amanah dengan integriti tinggi, meskipun berdepan cabaran baharu dalam era digital dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
“Saya harus sampaikan terima kasih dan menghargai jasa khidmat berpanjangan rakan-rakan pengamal media di Malaysia,” katanya.
Katanya, peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi turut membentuk kefahaman masyarakat bagi memperkukuh kefahaman rakyat terhadap pelbagai dasar dan agenda pembangunan negara.
Penganjuran kali ini mengangkat tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ yang menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media tempatan dan asing termasuk dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos.
Pada majlis itu, Anwar turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernama dan agensi berita Timir-Leste, TATOLI.
Selain itu Anwar juga menyampaikan Anugerah HAWANA kepada bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Anugerah Khas HAWANA 2026 kepada bekas Ketua Bernama Radio, Allahyarham Azlan Idris atas sumbangan besar dalam pembangunan industri media negara.