22 JUN : Pelantikan Pendakwa Raya disyorkan tidak melibatkan Perdana Menteri atau jemaah menteri.
Syor itu dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat bagi menambahbaik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ketelusan proses pelantikan itu dibuat dengan melalui Parlimen.
“Antara syor-syor utama yang telah dipersetujui dalam jawatankuasa ialah pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau jemaah menteri.
“Kedua, proses pelantikan yang lebih telus dengan penglibatan Parlimen di mana nama calon dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen untuk membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Selain itu, Azalina memaklumkan syor lain disebut melibatkan tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi mengukuhkan kebebasan institusi.
Kata Azalina yang juga Pengerusi JKP itu, Pendakwa Raya perlu mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi.
Menurut Azalina, JKP mengesyorkan penetapan Kod Etika di mana pelanggarannya boleh menyebabkan Pendakwa Raya tersebut disingkirkan daripada jawatan.
RUU tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu.