KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Hari ini saya telah membentangkan bacaan pertama bagi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat. Selanjutnya, Bacaan Kali Kedua dan Ketiga RUU Jenayah Siber 2026 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2026.
RUU Jenayah Siber 2026 ini dihasratkan untuk memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] bagi memastikan Malaysia akan dapat memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest) dan United Nations Convention Against Cybercrime (Konvensyen UN). RUU Jenayah Siber 2026 ini akan memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan jenayah siber dan akan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA, MKN JPM).
Pada masa kini, ancaman jenayah siber bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data, malah turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi dan serangan perisian tebusan (ransomware) serta penyalahgunaan teknologi memuncul seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI). Justeru, RUU Jenayah Siber 2026 ini adalah penting bagi mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin kompleks.
RUU Jenayah Siber 2026 mengandungi 8 Bahagian dan 61 Fasal yang bermatlamat untuk memperkukuh keupayaan negara bagi menangani ancaman keselamatan siber yang semakin canggih dan kompleks.
Melalui penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 ini, saya percaya bahawa ekosistem keselamatan ruang siber di Malaysia perlu ditambah baik bagi menjamin persekitaran digital yang lebih selamat, terpelihara dan dipercayai. Melalui kerangka perundangan yang lebih mampan nanti, ia bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Timbalan Perdana Menteri
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah