20 JUN : Keupayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mendapat antara telaga gas terbesar dunia di Turkmenistan adalah bukti hasil kestabilan politik negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga menunjukkan keyakinan negara luar terhadap Malaysia dan profesionalisme syarikat tempatan.
“Ini menandakan keyakinan negara luar kepada kita, keamanan yang kita capai, perpaduan rakyat dan kesungguhan syarikat seperti Petronas, kegigihan golongan profesional bekerja dan komitmen untuk membangunkan negara.
“Ini harus memberi rangsangan kepada kita (Malaysia) bahawa ruang terbuka luas, sekiranya kita fokus untuk mengangkat martabat dengan disiplin, kesungguhan dan secara positif membangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan rasmi pertama ke Turkmenistan selama dua hari bermula 18 Jun dan 19 Jun atas jemputan Presidennya, Serdar Berdimuhamedov.
Malaysia dan Turkmenistan memperluas kerjasama strategik ke tahap baharu menerusi beberapa perjanjian penting yang dijangka membuka lebih banyak peluang dalam sektor penerbangan, pendidikan, diplomasi dan penyelidikan.
Antara dokumen yang dimeterai termasuk memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan, MoU pihak berkuasa penerbangan serta MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan.
Turut dimetrai Perjanjian Perkhidmatan Udara Malaysia-Turkmenistan dan Pengumuman MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan institusi pengajian tinggi di Turkmenistan.