11 NOV : Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri memohon maaf susulan video tular mengajak minum minuman beralkohol ketika berkempen.
Yunazri, 36 mendakwa rakaman itu disunting dan dimanipulasi bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya sedangkan kejadian itu berlaku ketika beliau memenuhi jemputan untuk bertemu komuniti Cina.
Menurutnya, ketika itu beliau sedang menyampaikan ucapan bagi memberi semangat kepada pengundi PH sebelum sekumpulan tetamu mengangkat cawan ke arahnya.
“Jadi kami hadir atas jemputan untuk memberi kata-kata semangat kepada pengundi PH dalam kalangan komuniti Cina di kawasan itu.
“Apabila mereka sedang makan, saya memberi ucapan dan mereka berhenti makan. Di hujung ucapan saya itu, ada sekumpulan tetamu yang mengangkat cawan ke arah saya.
“Dalam masa yang sama, saya terus menghentikan ucapan kerana rasa bersalah dan meminta mereka untuk terus minum dan makan. Itu sahaja,” katanya, lapor Astro Awani.
Mengulas lanjut, Yunazri berkata tindakannya itu berlaku secara spontan tanpa sebarang perancangan, selain mengakui menyedari terdapat tetamu yang sedang mengambil minuman beralkohol di lokasi berkenaan.
Mohd Yunazri turut mengakui perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan sensitiviti dirinya sebagai seorang Muslim dan bersedia menerima sebarang teguran.
“Saya memang ingin memohon maaf. Saya juga akui saya adalah muka baharu dalam gelanggang pilihan raya ini, jadi mungkin ada perkataan-perkataan yang terlepas dan boleh mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Saya kurang sedar tentang perkara tersebut dan ini adalah satu pengajaran yang sangat bagus bagi saya,” katanya.
Selain itu, Timbalan Bendahari AMK Melaka itu turut menafikan dakwaan beliau sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi.
Pada masa sama, beliau berharap video itu tidak terus dijadikan bahan fitnah hingga menjejaskan reputasi serta keperibadiannya.
“Saya percaya ia akan menjejaskan kempen saya sedikit sebanyak dan mungkin akan memberi impak,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, beliau berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka.