29 JUN : Amerika Syarikat (AS) digesa menetapkan garis masa terhadap pengunduran Israel dari Lubnan dengan segera.
Gesaan itu selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Washington dengan Tehran.
Perkara itu dibangkitkan jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, lapor agensi berita ISNA.
“Menamatkan perang dan operasi ketenteraan rejim Zionis terhadap Lubnan, selain pengunduran pihak pendudukan dari semua wilayah Lubnan yang diduduki merupakan syarat penting untuk mencapai perjanjian muktamad dan berkekalan bagi mewujudkan kestabilan di rantau ini,” katanya.
Esmaeil berkata Tehran menganggap memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan elemen penting bagi menjamin kelangsungan sebarang perjanjian berkaitan usaha menamatkan perang dengan AS.
Menurutnya, dalam memorandum bertarikh 18 Jun yang dimetrai itu penamatan perang dan operasi ketentaran Israel di Lubnan dituntut seiring dengan penamatan perang terhadap Iran.
Esmaeil berkata lagi, Iran menjangkakan Washington memenuhi komitmennya di bawah memorandum itu dan bertindak terhadap rejim zionis itu bagi memastikan sebarang pencerobohan serta operasi ketenteraan di seluruh wilayah Lubnan dihentikan.