1 JUL : Seramai 16 bekas tentera melaporkan diri sebagai warden lelaki di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata 16 lagi warden dijadual memulakan tugas minggu hadapan.
“Kelmarin, seramai 16 orang warden lelaki bekas tentera telah mula melaporkan diri dan menjalani sesi taklimat dan pengenalan MRSM bersama pihak Pengurusan Maktab.
“InsyaAllah 16 lagi warden wanita bekas tentera akan menyusul minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, sesi orientasi itu diadakan bagi memberi pendedahan awal terhadap tanggungjawab yang peru dilaksanakan warden tersebut.
“Mereka diwajibkan menghadiri sesi orientasi dan pengenalan Maktab yang dikendalikan oleh Pengetua-pengetua MRSM yang terlibat.
“Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan awal berkaitan struktur pengurusan maktab, peraturan, serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh para warden,” katanya.
Difahamkan setiap MRSM diperuntukkan empat orang warden iaitu dua lelaki dan dua wanita melibatkan 10 MRSM termasuklah di Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah Rompin, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.
Kata Asyraf Wajdi, ke semua 58 MRSM akan mendapat manfaat warden bekas tentera sepenuh masa, mulai 1 Januari 2027.
“Diharapkan mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi serta membantu pihak maktab dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa terpelihara.
“Moga-moga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar Buli akan menjadi kenyataan,” katanya.