1 JUL : Barisan Nasional (BN) tiada halangan terhadap hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan Kor Ming agar tidak bercakap besar sambil menegaskan tiada masalah bagi BN jika Timbalan Pengerusi DAP itu mahu meletakkan jawatan.
“Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang kita nak dia letak jawatan. Kalau BN menang di Johor, kita hanya tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tidak ada kena-mengena dengan hal-hal di Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Saya tidak mahu menyentuh orang…dia mencabar kita. Kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tidak ada masalah bagi kita,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program bersama penduduk DUN Simpang Jeram, semalam.
Terdahulu, Kor Ming dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily berkata akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan jika Najib dibebaskan tanpa sebarang sabitan.
Katanya, DAP juga mungkin menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan jika perkara itu berlaku kerana ia ‘garis merah’ parti tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata jentera UMNO-BN perlu memantapkan gerak kerja dan tidak mengharapkan belas ihsan orang lain.
“Kita mesti terus bekerja kuat, jangan harapkan belas ihsan orang lain. Bina kekuatan sendiri supaya kita kuat.
“Kalau ada sesiapa yang nak membantu, Alhamdulillah kita ucap terima kasih,” katanya.
