3 JUL : Pendirian Malaysia tidak berubah meski ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low diberi pengampunan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tetap mengikut proses perundangan di negara ini.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita ikut jalur hukum. Itu soal keputusan negara AS…itu urusan mereka.
“Tetapi pendirian kita tidak terpengaruh, tidak terganggu atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, hari ini.
Sebelum ini, Jho Low dikatakan memohon untuk mendapatkan pengampunan dari AS.
Jika diluluskan, ia boleh memberi kesan terhadap pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi dari White House berkait status permohonan tersebut.
Namun, media antarabangsa melaporkan nama buruan itu antara kira-kira 250 individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.