7 JUL : Sebuah kereta jenama BMW yang digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini bukan kenderaan rasmi baharu Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan mengesahkan kenderaan itu aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA).
Menjelaskan perkara itu, JPM memaklumkan BMW tersebut digunakan Anwar sementara berikutan kenderaan rasminya kini sedang diselenggara.
“Merujuk kepada dakwaan berhubung penggunaan sebuah kenderaan BMW oleh YAB Perdana Menteri, JPM dan BIUPA ingin menjelaskan bahawa kenderaan tersebut adalah aset sedia ada milik BIUPA dan bukan kenderaan rasmi baharu YAB Perdana Menteri.
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut JPM, kenderaan milik BIUPA itu pada asalnya untuk kegunaan rasmi oleh ketua-ketua negara dan kerajaan yang melawat negara ini.
“Kenderaan berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia, selaras dengan keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa.
“Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron,” kata JPM.