9 JUL: Kerajaan menetapkan penggunaan bahasa Melayu diutamakan secara mutlak dalam semua urusan rasmi termasuk pembentangan, video korporat, klip video rasmi, persembahan montaj serta semua bahan komunikasi bagi menyampaikan dasar kerajaan.
Penegasan itu dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu surat edaran susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026.
JPA dalam surat edaran memaklumkan penekanan terhadap penggunaan bahasa Melayu adalah selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] serta Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.
Menurut JPA, jabatan itu juga sebelum inimengeluarkan surat edaran bertarikh 29 Oktober 2025 berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.
Sehubungan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi diminta memperhebat usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam pembentangan mesyuarat rasmi serta penganjuran program seperti latihan, seminar dan aktiviti rasmi lain.
Bagi memastikan arahan itu dipatuhi, JPA akan melaksanakan pengauditan dan pemantauan secara berkala terhadap pelaksanaan pemerkasaan bahasa Melayu di kementerian serta jabatan kerajaan.
Surat edaran berkenaan turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh di seluruh sektor perkhidmatan awam.