KENYATAAN MEDIA
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
9 JUL : Reformasi Perkhidmatan Awam MADANI hanya boleh dianggap berjaya apabila setiap dasar kerajaan diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai oleh rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ukuran sebenar kejayaan kerajaan bukan terletak pada banyaknya dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana rakyat dapat merasai hasil daripada pelaksanaan dasar tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI yang menghimpunkan seramai 300 pegawai awam daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Johor di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), hari ini.
Beliau menegaskan bahawa setiap pegawai awam memikul amanah untuk memastikan setiap dasar kerajaan diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, telus dan berkesan. Penyampaian perkhidmatan yang berkualiti akan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap Perkhidmatan Awam. “Kerajaan dinilai bukan semata-mata melalui dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan telah berubah selaras dengan perkembangan teknologi dan pengalaman mereka berurusan dengan sektor swasta serta platform digital. Justeru, rakyat kini mengharapkan urusan yang lebih cepat, lebih mudah, lebih telus dan lebih mesra pelanggan.
Perubahan jangkaan tersebut menjadikan Reformasi Perkhidmatan Awam MADANI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu kemestian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus relevan, responsif dan memenuhi harapan rakyat.
Pelaksanaan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih berorientasikan keberhasilan melalui pengurangan kerenah birokrasi menerusi pendekatan One-In, One-Out, di samping memperkukuh budaya Whole-of-Government bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Reformasi bukan sekadar melibatkan perubahan sistem atau prosedur, malah menuntut perubahan cara berfikir, memimpin, bekerja dan yang paling penting, cara pegawai awam berkhidmat kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan terus komited memperkukuh kebajikan lebih 1.6 juta pegawai awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) termasuk Fasa Kedua pelarasan gaji serta pelbagai penambahbaikan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM).
Beliau berkata penghargaan yang diberikan kerajaan kepada pegawai awam perlu diterjemahkan kepada peningkatan prestasi, integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan agar setiap dasar dan inisiatif kerajaan dapat memberikan manfaat yang benar-benar dirasai oleh rakyat.
Mengakhiri ucapannya, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menyeru seluruh pegawai awam supaya terus memelihara amanah, menghargai kepercayaan yang diberikan kerajaan serta memperkukuh kerjasama merentas kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan Reformasi Perkhidmatan Awam MADANI diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Jadilah pegawai awam yang bukan sekadar menunggu perubahan tetapi menjadi pencetus perubahan,” katanya.
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM