13 JUL : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dicapai selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan dengan majoriti 2-1.
Keputusan berkenaan sekali gus membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan sebelum ini.
Dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq, Jun tahun lalu.
Namun Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim itu membuat keputusan berbeza dan mendapati bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu bersalah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023 menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq.
Pertuduhan terhadap Syed Saddiq berhubung dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan harta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana ARMADA BERSATU.