25 OKT: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Haleem mempertaruhkan prestasinya sebelum ini berbanding lawan beliau yang akan datang dengan pelbagai janji.
Katanya, setiap calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 16, pasti akan berdepan cabaran hebat untuk menawan hati pengundi masing-masing.
“Bagi saya, tentunya berharap pengundi akan menilai prestasi serta khidmat saya sudah curah selama sepenggal di Duyong manakala lawan nanti tentu datang dengan pelbagai janji.
“Saya percaya pengundi akan melihat sebaik-baiknya dan saya berharap satu persaingan sihat dan matang. Biar rakyat menilainya,” ujar Helmy selepas Pelancaran Jentera Barisan Nasonal (BN) Melaka dan pengumuman calon, malam tadi.
Ditanya sama ada semua tugas dan kerjanya kepada pengundi di Duyong sudah hampir selesai dan mungkin ada tertangguh, Helmy menjelaskan bahawa hampir semua kerja dapat diselesaikan.
“Semua kerja-kerja di Duyong mengikut jadual. Tempoh masa memainkan peranan. Mungkin ada yang tidak sempat disempurnakan kerana perlu melalui proses dan prosedur yang patut dipatuhi.
“Saya kira kalau ada yang tidak habis atau belum disempurnakan, dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan lagi, perkara itu akan selesaikan,” tegas beliau.
Beliau juga akan terus berhubung dengan masyarakat seperti sebelum ini menggunakan media sosial kerana itu medium terkini yang rakyat boleh terima.
Mengenai desas desus beliau tidak dicalonkan semula, Helmy berkata, beliau sudah redha dan menyerahkan kepada kepimpinan parti.
Dengan pencalonan semula bertanding di DUN Duyong, beliau yakin dan percaya apa dirancang oleh pucuk pimpinan dengan melihat gambaran yang lebih besar serta menilai kerja-kerja yang saya sudah laksnakan dalam tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat.
Pakatan Harapan (PH) semalam menamakan wakil DAP, Poo Long Suan bertanding di Duyong.