25 OKT : Generasi muda tidak perlu menunggu sehingga kaya atau memegang jawatan besar untuk membantu masyarakat, sebaliknya sumbangan masa, tenaga dan keikhlasan juga mampu membawa perubahan dalam kehidupan orang lain.
Pesanan itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bakti Siswa MADANI di Kampung Pulau, hari ini.
Ab Rauf berkata, semangat keprihatinan dan kesukarelawanan itu perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda supaya mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memahami kesusahan masyarakat.
“Untuk menjadi insan yang bermanfaat, kita tidak perlu menunggu sehingga kaya. Tidak perlu menunggu sehingga berjawatan besar dan tidak perlu menunggu sehingga menjadi orang penting.
“Kadang-kadang, cukup dengan sedikit masa, sedikit tenaga, sepatah kata yang baik dan keikhlasan untuk membantu, kita sebenarnya sudah mampu membawa perubahan dalam kehidupan seseorang,” katanya.
Menurut Ab Rauf, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa mendekati masyarakat dan memahami realiti kehidupan di luar lingkungan universiti.
Katanya, pengalaman turun padang membolehkan mahasiswa mempelajari nilai kerjasama, kesyukuran serta keprihatinan terhadap kesusahan orang lain melalui interaksi secara langsung dengan penduduk setempat.
Ab Rauf berkata, kehadiran mahasiswa dari pelbagai negeri untuk menyumbang bakti di kampung berkenaan turut membawa makna tersendiri buat dirinya kerana Kampung Pulau merupakan tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan.
Beliau berkata, semangat membantu masyarakat yang diterapkan menerusi program itu selari dengan pendekatan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dibawa kerajaan negeri.
“Apabila rakyat berdepan kesusahan, kita mesti hadir membantu. Apabila rakyat memerlukan pembelaan, kita mesti berusaha mencari penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf mahu kerjasama antara universiti dengan kerajaan negeri terus diperkukuh, bukan sahaja dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, malah menerusi program kesukarelawanan, penyelidikan serta inovasi yang memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau berkata, usaha membina masyarakat lebih baik memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa yang boleh menyumbangkan ilmu, kepakaran dan tenaga demi manfaat rakyat.
Program itu menghimpunkan lebih 400 mahasiswa UiTM daripada lima kampus di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Shah Alam.
Program itu turut menyusun 15 pengisian sepanjang penganjurannya termasuk Program Rewang Desa, gotong-royong masjid, kenduri rakyat, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), sukan rakyat dan ziarah kasih bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

Kapsyen: Sebahagian mahasiswa dan pensyarah yang sempat merakamkan gambar bersama Ab Rauf pada program tersebut, pagi tadi.