27 JUL : Cadangan pindaan terhadap Akta Penjara yan bertujuan memberikan perlindungan kepada pegawai penjara bukan bagi menjamin kekebalan di sisi undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkataan perlindungan itu perlu diperjelas bagi mengelakkan tanggapan negatif.
“Percubaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminda Akta Penjara adalah berkaitan peruntukan memberi perlindungan kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas secara suci hati.
“Perkataan ‘perlindungan’ itu perlu diperjelaskan lagi kerana terdapat tanggapan umum termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Dewan bahawa pindaan ini adalah usaha Jabatan Penjara untuk mendapatkan kekebalan undang-undang. Sebenarnya tidak.
“…ia langsung bukan bertujuan menuntut kekebalan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Beliau memberi contoh seorang pengarah penjara pernah disaman selepas pelaksanaan hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah dan prospek trsebut meninggal dunia.
“Kita tahu setiap pelaksanaan hukuman sebat dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk kehadiran doktor dan pematuhan kepada semua syarat yang berkaitan.
“Namun begitu, sama ada kematian itu berpunca daripada hukuman sebat atau sebaliknya, pegawai penjara tetap disaman walaupun mereka hanya melaksanakan keputusan mahkamah.
“Jadi untuk kes seperti ini, saya merasakan bahawa ada keperluan untuk Akta Penjara dipinda dalam konteks ini,” katanya.
Menurutnya, seorang pegawai penjara hanya menjalankan tugas namun mereka tetap terdedah kepada tindakan undang-undang.
“Kalau kita berada di tempat pegawai penjara, dalam keadaan mereka menjalankan tugas secara suci hati, mereka masih terdedah kepada tindakan undang-undang.
“Saya tegaskan berkali-kali bahawa ini bukan percubaan untuk mendapatkan kekebalan undang-undang.
“Sebagai contoh, apabila SUHAKAM menyiasat kes di Penjara Kamunting, siasatan polis tetap dijalankan, tindakan dalaman turut diambil dan tindakan undang-undang juga boleh diteruskan.
“Ini membuktikan bahawa tidak pernah wujud niat untuk memberikan kekebalan kepada pegawai penjara. Pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
“Oleh itu, kita melihat ada kewajaran untuk perkara ini dibentangkan semula,” katanya.
