Campur tangan politik jejaskan Felda, rugi hampir RM10 bilion
27 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Felda kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik.
Menurutnya, agensi yang pernah muncul sebagai syarikat perladangan terbesar dunia dengan meraih keuntungan berbilion ringgit setiap tahun berdepan kerugian selepas campur tangan politik secara berlebihan.
“Lapan tahun yang lalu, timbul perubahan keputusan. Campur tangan politik berlebihan. Akhirnya, yang untung RM10 bilion itu sekarang dah rugi.
“Saya sekarang ambil alih dan jaga Felda. Sebab apa? Saya dapat laporan Felda berhutang hampir RM10 bilion. Ini bukan politik, ini kenyataan,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Felda mencapai zaman kegemilangan ketika diterajui Raja Alias Raja Muhammad Ali serta Allahyarham Tan Sri Taib Andak di mana pengurusan cekap menjadikan agensi itu peneraju industri perladangan dunia.
Katanya, prestasi cemerlang itu memberi pulangan lumayan kepada keluarga peneroka hasil pembangunan tanah rancangan.
Menurutnya, kemerosotan Felda bukan berpunca daripada peneroka tapi disebabkan individu yang gagal memikul amanah diberi.
“Peneroka tak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya orang yang diamanah itu khianat kepada amanah. Ini kenyataan yang ada sekarang,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar mengingatkan generasi muda memikul tanggungjawab menjaga keamanan negara selain perlu menolak unsur pemecahbelahan dalam masyarakat.
Beliau berkata, kestabilan negara mampu dipertahankan jika kepimpinan Melayu, institusi Raja-Raja Melayu serta institusi utama negara terus dipimpin berasaskan integriti selain amanah.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA