31 JUL : Rakyat diingatkan supaya mempertahankan keamanan negara daripada sentimen perkauman serta politik kebencian menjelang bulan kebangsaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keamanan, kestabilan serta keharmonian perlu terus dipelihara demi memastikan Malaysia kekal bersatu.
“Malaysia ialah tanah air kita bersama. Kita mesti memajukan orang Melayu dan Bumiputera tanpa menekan atau menafikan hak kaum lain.
“Kita mahu anak-anak Melayu, Cina, India, Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak sama-sama maju dan berjaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Negeri Sembilan di Pasir Panjang, hari ini.
Menurut Anwar, masalah negara bukan berpunca daripada kaum, sebaliknya apabila kuasa di beri pada tangan yang salah.
“Masalah negara bukan terletak pada sesuatu kaum, tetapi apabila amanah diserahkan kepada mereka yang tidak layak, tidak berwibawa dan tidak amanah.
“Kepintaran mesti disertai akhlak, manakala kuasa mesti dipandu integriti. Justeru, nilailah pemimpin berdasarkan rekod, khidmat dan kejujurannya, bukan sentimen kaum atau hasutan kebencian,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda menguasai teknologi, kecerdasan buatan (AI) serta dunia digital tanpa mengabaikan agama, akhlak, budaya dan nilai kemanusiaan.
“Inilah makna kemerdekaan yang harus kita hidupkan sebuah negara yang maju, bersatu dan bermaruah, diterajui generasi berilmu, berani dan amanah,” katanya.
