1 OGOS : Kestabilan politik di Negeri Sembilan perlu terus dipelihara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) melabuhkan tirai.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mandat yang bakal diumumkan hari ini perlu dihormati semua pihak dan memberi sokongan terhadap kerajaan negeri dibentuk.
“Kita tidak mahu rumah siap tetapi berbunyi. Siapa sahaja yang mendapat perkenan Tuanku untuk mengangkat sumpah sebagai menteri besar mesti mendapat sokongan padu semua pihak.
“Kita mahu Negeri Sembilan terus muncul sebagai salah sebuah negeri yang maju, bukan sahaja dari segi industri dan ekonomi, malah mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda serta meningkatkan kuasa beli rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program GEMA@KEMAS DUN Jeram Padang di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan pertembungan di negeri tidak menjejaskan hubungan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau menekankan sokongan BN terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran tetap tidak berubah.
“Kita berada dalam kerajaan yang sama di Putrajaya, tetapi di Negeri Sembilan dan Johor kita berada di gelanggang yang berbeza. Inilah uniknya demokrasi di Malaysia.
“Apa yang berlaku di peringkat negeri dan apa yang berlaku di peringkat nasional adalah berbeza. Yang penting, kestabilan politik mesti diwujudkan selepas rakyat membuat keputusan,” katanya.
“Jika trend ini dapat dipertahankan atau menghampiri kadar pengundian awal, ia boleh menjadi ‘game changer’ di Negeri Sembilan. Saya harap begitu,” katanya.
Mengulas soal kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang perbincangan.
“Politik ini sangat dinamik. Kedinamikan itulah yang mematangkan politik di Malaysia dan kita sentiasa terbuka kepada sebarang perbincangan,” katanya.
Rakyat Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab memilih 36 wakil Dewan Undangan Negeri, hari ini.