31 JUL : Netflix berdepan tuntutan saman sekurang-kurangnya AS$105 juta (kira-kira RM470 juta) susulan kehilangan salinan digital filem baharu ‘Fortitude’.
Menurut dokumen mahkamah, penerbit filem itu, Simon Afram mendakwa salinan induk digital thriller Perang Dunia Kedua lakonan Nicolas Cage serta Ben Kingsley dihantar kepada Netflix pada Jun lalu untuk penilaian hak pengedaran serta tayangan.
Afram mendakwa storan Digital Cinema Package (DCP) gagal dipulangkan selepas diserahkan kepada syarikat itu.
Seorang eksekutif Netflix kemudian memaklumkan menerusi e-mel pemacu digital berkenaan dicuri bersama beberapa pemacu lain dari meja pejabat.
Penerbit itu yang melabur lebih AS$45 juta sepanjang tujuh tahun pembikinan filem berkenaan, mendakwa kehilangan salinan induk menjejaskan nilai komersial karya tersebut.
Keadaan itu juga didakwa menyukarkan usaha menjual hak pengedaran kepada mana-mana pihak.
Menurut tuntutan itu, bakal pengedar mungkin tidak berminat mendapatkan filem berkenaan kerana bimbang salinan hilang berpotensi disebarkan melalui laman cetak rompak pada bila-bila masa.
Netflix bagaimanapun mempertikaikan dakwaan tersebut.
Syarikat itu menegaskan mereka tidak sepatutnya menanggung risiko kehilangan fail yang dihantar tanpa perlindungan keselamatan mengikut standard industri.
Netflix turut memaklumkan siasatan dalaman sudah dijalankan.
Pemantauan terhadap laman cetak rompak juga dibuat bagi mengesan sebarang pengedaran atau penjualan tidak sah filem berkenaan.