1 OGOS : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 92 laporan polis dan membuka 24 kertas siasatan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berakhir malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata ia meliputi pelbagai kesalahan dan sebahagian besar membabitkan kesalahan kecil dilakukan penyokong atau ahli parti.
Selain itu katanya, empat laporan berkaitan dakwaan pemberian wang kepada pengundi yang diterima masih dalam siasatan.
“Kesalahan yang dilaporkan adalah kesalahan kecil seperti khianat merosakkan banner, bendera dan poster parti yang bertanding. Setakat ini tiada laporan polis melibatkan calon secara langsung.
“Secara keseluruhannya proses PRN di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan dengan baik, lancar dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, hari ini.
Menurutnya, kesemua kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi memastikan proses pengundian berlangsung aman, seramai 5,500 pegawai serta anggota polis digerakkan termasuk untuk kawalan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Selain itu, beliau mengingatkan semua parti politik dan penyokong supaya mematuhi undang-undang serta menjaga ketenteraman selepas keputusan diumumkan.
Hari ini, seramai 859,760 pemilih berdaftar layak mengundi bagi menentukan wakil di 36 kerusi DUN.