2 OGOS : Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tengah malam tadi di Istana Hinggap, Seremban sejurus proses pengiraan undi selesai.
“Malam ini, sejurus berakhirnya proses pengiraan undi bagi PRN Negeri Sembilan, saya dititah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, di Istana Hinggap, Seremban.
“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah mempersembahkan kepada Tuanku hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.
“Atas perkenaan Tuanku, BN dan PN akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan BN komited memikul amanah mentadbir negeri mengikut Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri.
“BN menjunjung kasih atas perkenan Tuanku dan akan melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“BN akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.
Beliau turut mendoakan kesejahteraan Tuanku Muhriz dalam memayungi Negeri Sembilan serta seluruh rakyat.
“Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan Darul Khusus serta seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN menang 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara PN mendapat tujuh kerusi sekali gus memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.