1 NOV : Analisa, tafsiran serta pandangan daripada pihak yang bukan penyokong Barisan Nasional (BN) tentu akan cuba memesongkan pandangan rakyat terhadap calon-calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, melainkan pandangan yang diambil daripada sudut profesional, ianya boleh diterima namun tidak boleh diukur hasil di atas kertas dapatan mereka begitu sahaja.
“Orang yang baik belum tentu memihak kepada kita. Sebab itu, ada (lagu) madu dan racun,” katanya mengulas pandangan penganalisa mendakwa kononnya ada calon tertentu BN akan kalah malah parti lawan bakal beroleh 18 kerusi pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pengundi atas pagar termasuk golongan muda akan melihat hala tuju sesebuah parti yang diberikan mandat mentadbir serta mengurus negeri.
“Mereka akan lihat apa yang kita sudah beri kepada rakyat sewaktu kita mentadbir negeri. Apa yang kita buat, itu bukan wayang kulit,” jelas Ketua Menteri itu.
Beliau merujuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hebat dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang bertujuan menyelusuri masalah rakyat dan menyelesaikannya.
Ab Rauf bercakap kepada media selepas perjumpaan dan memberi kata-kata semangat kepada jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Jasin yang turut dihadiri calon penyandangnya Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Tambahnya, melalui WRUR, lebih 75 peratus daripada 4,800 aduan serta masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk kes permohonan rumah dan tanah hampir 30 tahun.
“Kita sudah buat lebih awal supaya rakyat tidak digula-gulakan sewaktu PRN. Dalam saya memilih calon sebelum ini, antaranya wakil rakyat mesti menjadi rakyat.
“Mereka mesti tahu apa masalah rakyat, keperluan dan mendengar apa rakyat cakap, kemudian sampaikan kepada saya untuk kerajaan sediakan garis panduan atau dasar yang boleh digunapakai pada masa depan,” ujar Ab Rauf yang akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara.